Selasa, 2 Februari 2010

Anwar Ibrahim ‘raja’ cipta isu...(cuba nak alih perhatian kes liwat)...

Siapa tak kenal dengan orang ini. Muka yang kacak sebelah ni namanya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Daripada budak kecik sampaila kepada orang tua, semua kenal muka kacak ni. Pengaruh dia cukup besar, bukan saja dalam negara, tetapi juga diluar negara. Bekas Timbalan Perdana Menteri pada era 90an ini, merupakan antara tokoh pemimpin politik negara yang mempunyai pelbagai cerita dan kontroversi yang sudah tentu akan menjadi bahan lipatan sejarah didalam negara ini. Dari pemimpin dan pejuang UMNO, sekarang dah jadi pemimpin dan pengasas PKR.

PKR sebuah parti politik yang ditubuhkan pada penghujung era 90an. Parti ini ditubuhkan pada dasar awalnya adalah untuk membela dan memperjuangkan nasib Anwar semata-mata, dengan melaung-laungkan reformasi ke seluruh negara menuntut keadilan bagi dirinya. Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri disebabkan kes salah laku (liwat) dan salah guna kuasa. Bermula dari situlah PKR (dulu Keadilan) ditubuhkan.

Setelah berkursus selama 6 tahun di penjara Sungai Buluh, akhirnya Anwar telah dilepaskan oleh Datuk Seri Abdullah Badawi yang pada ketika itu mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Dr. Mahathir.

Setelah dibebaskan, rupa-rupanya Anwar tak pernah serik berpolitik. Cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri tidak pernah sesekali dia padamkan. Setelah bebas, Anwar kembali menyusun strategi politiknya sehingga dia dan kawan-kawan sekutunya berjaya mencipta dan mencari isu sehingga melemahkan kerajaan pimpinan Pak Lah. Pak Lah dan kerajaan pada ketika itu memang di akui lemah, dengan wujud pelbagai masalah dan isu besar yang nyata tidak ditangani oleh Pak Lah dan kerajaan dengan baik. Ini menyebabkan rakyat berasa tidak puashati,rakyat berang dan menolak kepimpinan Pak Lah dan kerajaan.
Kesempatan dan peluang inilah diambil oleh Anwar Ibrahim untuk mengukuhkan dan menguatkan lagi pengaruhnya. Ini jelas apabila keputusan PRU 12 yang lalu benar-benar telah menampakkan bahawa rakyat menolak kepimpinan Pak Lah dan kerajaan pada ketika itu. Keputusan Pak Lah untuk berundur pada Mac 2009 demi memulihkan kepimpinan kerajaan dan parti pada ketika itu, amat tidak disukai oleh Anwar dan kuncu-kuncunya. Sebab Anwar tahu, sekiranya Pak Lah terus kekal menjadi Perdana Menteri, maka hasrat dan cita-citanya untuk menggulingkan kerajaan dan parti BN memang amat cerah. Sebab itu Anwar antara orang yang mempertahankan Pak Lah supaya tidak berundur pada ketika itu.

Setelah berundur, Dato Seri Najib Tun Razak telah dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Pak Lah. Nyata perlantikan Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri, menyebabkan Anwar tidak senang duduk dan semakin terdesak untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri. Ini disebabkan Dato Seri Najib mempunyai cara dan daya kepimpinan yang berbeza dengan Pak Lah.

Ini dihimpitkan lagi dengan kes liwatnya terhadap Saiful Bukhari Azlan telah mula dibicarakan dimahkamah. Tetapi Anwar tetap memainkan peranan melalui peguam-peguamnya untuk melengah-lengah kes liwatnya ini supaya tidak dibicarakan di mahkamah. Anwar juga tidak jemu-jemu dengan caranya untuk mencipta isu dan cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kes liwatnya.

Pada tahun 2009 saja, telah berlaku 9 pilihanraya kecil diseluruh negara. Ini jelas amat disukai oleh Anwar dan PKR, ini kerana dengan adanya pilihanraya kecil, secara tidak langsung kes liwatnya akan tertangguh, kerana sudah tentu tumpuan rakyat umumnya tertumpu pada pada pilihanraya kecil. Bila kes tertangguh terlalu lama dimahkamah, sudah tentu rakyat akan tertanya-tanya, dan mula bosan untuk mengikuti kes liwatnya. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan rakyat mula membuat andaian dan spekulasi-spekulasi sendiri, mengatakan Anwar tidak bersalah telah difitnah, dianiaya dan sebagainya. Ini semua agenda dan cara Anwar.

Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang yang juga pemimpin utama PKR ini nampak seakan sudah semakin terdesak untuk mempolitikkan apa sahaja isu yang timbul.

Dalam isu khalimah Allah, Anwar yang secara terang menyokong penggunaan khalimah suci ini, digunakan oleh Agama Katolik, sekali lagi mempolitikkan keadaan. Kali ini Anwar dan pemimpin DAP telah menuduh UMNO menyemarakkan sentimen bantahan umat islam , yang kononnya secara tidak langsung dikaitkan dengan kejadian membakar gereja.

Inilah kepakaran Anwar, apa sahaja ruang dan peluang digunakan untuk meraih sokongan. Dalam isu tersebut, sokongan rakyat bukan islam terutama di Sabah dan Sarawak mahu ditagihnya dengan cara memburukkan UMNO, BN dan kerajaan. Sedangkan Anwar tahu bahawa agak sukar untuk partinya PKR memasuki dan menang di Sabah dan Sarawak.

Maka apabila berlaku insiden membakar gereja ini, secepat kilat Anwar menyambarnya untuk dijadikan isu dan dipolitikkan. Lebih-lebih lagi, Anwar sedar reaksi majoriti umat islam yang menentang penggunaan khalimah Allah ini oleh agama lain. Demonstrasi aman yang banyak dibuat di masjid-masjid membuktikan bahawa majoriti umat islam tidak mahu isu ini berterusan dan apalagi dipolitikkan. Jika dilihat di laman web sosial Facebook, telah mencecah 100,000 orang menyertai bantahan penggunaan khalimah Allah ini oleh agama lain.

Maka strategi Anwar adalah dengan memaksimumkan sokongan orang bukan islam bagi meneruskan momentum sokongan dan agendanya untuk memenangi pilihanraya umum akan datang. Sebab itu Anwar sentiasa menggerakkan orang-orangnya untuk mencipta isu demi meraih sokongan. Yang terbaru, orang kanannya naib presiden Azmin Ali juga telah membuat kenyataan bahawa orang yang membakar gereja ini adalah orang-orang UMNO. Inilah cara politik yang telah dibawa Anwar Ibrahim.


Realitinya, Anwar memerlukan banyak isu panas bagi mengalihkan perhatian umum kepada isu liwat yang dihadapinya sekarang. Nyata Anwar makin resah dan tertekan kerana kes liwatnya terhadap Saiful Bukhari Azlan hampir tiba dan akan mula dibicarakan. Semua orang tahu, Anwar sengaja melengah-lengahkan kesnya ini, dan mencetuskan persoalan, kalau betul kenapa nak takut.

Dalam parti PKR pula, seorang demi seorang pemimpin PKR telah angkat kaki untuk melepaskan jawatan dan meninggalkan parti. Ini satu tamparan yang besar bagi Anwar untuk mengekalkan kepercayaan dan pengaruh masyarakat padanya. Apa saja strategi Anwar, sebenarnya amat mudah dibaca. Anwar memang suka kepada membakar sentimen rakyat. Sejarah telah membuktikan bahawa kes moralnya ini boleh dimanipulasi sehingga rakyat terheret sama.
PKR, DAP dan PAS yang berjaya menguasai beberapa negeri didalam pilihanraya yang lalu juga sebenarnya adalah disebabkan sentimen yang dimainkan oleh Anwar, biapun kepentingan agama, bangsa dan negara menjadi taruhan.