Rabu, 2 Jun 2010

MELAYU, UMNO DAN LEGASI TUN DR MAHATHIR...

Majoriti rakyat Malaysia membesar dan melihat era kepimpinan Tun Dr.Mahathir Mohamad. Legasi pentadbiran dan pemerintahannya telah menyumbang kesan yang amat besar kepada era pemodenan dan pentadbiran negara serta tamadun bangsa yang berkembang pesat.

Beliau dilihat seorang yang begitu gigih dalam segala perancangan dan tindakan menjayakan agenda bangsa dan Malaysia dengan cemerlang. Tun Dr.Mahathir adalah merupakan pemimpin ulung, yang bukan sahaja diiktiraf oleh rakyat Malaysia tetapi juga di seluruh dunia yang mengangkat ketokohan Tun Dr.Mahathir sehingga ke hari ini.

Pemikiran dan tindakan Tun Dr.Mahathir amat sukar dibaca hingga kesan dari ucapannya sering mendapat liputan meluas media yang menggemparkan rakyat, terutama kepada ahli-ahli UMNO yang dahagakan perubahan dan semakin hilang arah. Disebabkan hilang arah tuju inilah, UMNO tanpa disedari telah dilanda krisis yang amat besar didalam kepimpinan yang telah menyebabkan parti keramat melayu ini dilanda tsunami politik yang amat teruk pada PRU yang ke 12.

Mantan Perdana Menteri ke 5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dilihat dari sudut politik telah gagal untuk memimpin dan membawa UMNO ke arah hala tuju yang lebih baik selepas era kepimpinan Tun Dr.Mahathir. Momentum kemenangan besar di PRU ke-11 pada tahun 2004 dahulu, dilihat gagal dipertahankan Tun Abdullah Badawi. Ternyata perubahan-perubahan dasar yang dibuat oleh Tun Abdullah Badawi didalam kerajaan dan parti dilihat sebagai punca kepada timbulnya pelbagai isu yang tidak ditangani dengan baik, dan tidak dapat diterima oleh sebahagian ahli-ahli UMNO dan majoriti rakyat pada ketika itu. Ini menyebabkan PRU ke12 lalu, rakyat dilihat seolah-olah memberikan undi protes kepada kerajaan dan parti Barisan Nasional.

Ramai yang berpendapat bahawa, Tun Abdullah Badawi seharusnya melihat segala komen dan kritikan yang dibuat oleh Tun Dr.Mahathir kepadanya ketika itu sebagai satu cabaran dan tanggungjawab yang besar yang harus diterimanya secara positif, demi untuk memulihkan keadaan kerajaan, khususnya dalam UMNO dan juga Parti Barisan Nasional. Tetapi inilah satu lagi lakaran sejarah pemimpin negara kita, yang mana dulu, tempoh perletakan jawatan Tun Dr.Mahathir amat ditangisi, tetapi tempoh pengunduran Tun Abdullah Badawi adalah amat dinanti-nanti.

Setelah meninggalkan tampuk pemerintahan memimpin negara selama 22 tahun, Tun Dr.Mahathir dilihat tidak lagi berperanan dan tidak lagi berharga oleh ahli-ahli UMNO dan BN pada ketika itu. Segala cadangan dan pandangannya tidak diambil peduli oleh pimpinan kerajaan, hingga ada juga yang sanggup mencemuhnya. Beliau terlalu dilukai selepas melepaskan jawatannya. Tun Dr.Mahathir bukanlah sebarang orang, kerana pandangan dan tegurannya selalunya lahir dari keikhlasan yang sayangkan bangsa dan negaranya.

Amat menyedihkan, apabila seorang negarawan terbilang yang pernah berkorban ikhlas untuk agama, bangsa dan negaranya, telah dianggap pengacau selepas era pemerintahnnya berakhir. Tsunami politik pada 8 Mac 2008, telah menceritakan segala-galanya apa yang telah berlaku. Kekalahan teruk UMNO dan BN seolah-olah seperti sudah dijangka. Apa yang berlaku kepada UMNO dan BN perlulah dilihat sebagai satu pengajaran besar. Setidak-tidaknya UMNO dan BN belajarlah menghargai dan mengenang jasa pemimpin-pemimpin yang terdahulu seperti Tun Dr.Mahathir Mohamad ini. Penghormatan dan jasanya tidak dihargai ketika beliau tiada jawatan didalam kerajaan mahupun parti, sedangkan pengorbanan yang dicurahkannya kepada negara jauh lebih besar dari apa yang kita fikirkan.

Memetik kata-kata seorang ahli politik besar, Tun Dr.Mahathir adalah merupakan seorang daripada begitu ramai pemimpin yang dilahirkan dalam 100 tahun, untuk melonjakkan tamadun sesuatu bangsa. Sesungguhnya jika benar kata-kata keramat itu, maka Tun Dr.Mahathir adalah seorang pemimpin yang seharusnya diletakkan dalam penghormatan negara. Diharapkan semoga pimpinan UMNO dan BN dapat menginsafi peristiwa ini, sentiasalah menoleh ke belakang untuk menghargai sumbangan dan jasanya yang besar pada negara.

Sanjungan untuk Tun Dr.Mahathir Mohamad tidak pernah luntur dari kebanyakkan rakyat Malaysia, dan hampir diseluruh dunia, khususnya dunia Islam. Adakah kita sedar dalam masa 22 tahun pemerintahannya, betapa pesatnya pembangunan yang telah dibawa kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya. Kita tidak harus lupa, bagaimana beliau sebagai pemimpin kita pada ketika itu, bersuara secara tegas mempertahankan maruah negara dan umat Islam daripada serangan Yahudi pada ketika negara Arab membisu dan tidak berani mengangkat muka. Berjuta-juta umat Islam yang tertindas, miskin dan memerlukan bantuan seperti di Bosnia, Somalia, Afghanistan, Sudan dan negara Islam lain mendapat simpati dan pertolongan segera dalam pelbagai bentuk bantuan seperti ketenteraan, pembangunan, derma, pendidikan dan bermacam lagi semasa era pemerintahnnya.

Jika dunia Islam mengakui ketokohan dan sumbangan besar Tun Dr.Mahathir kepada mereka, adakah kita sebagai rakyat Malaysia wajar melupakan jasa dan pengorbanan Tun Dr.Mahathir kepada agama, bangsa, negara? Malah merata benua telah diharunginya, ketika pemimpin Islam lain yang negara mereka kaya raya dan mewah tetapi terbatas dari segi untuk membantu negara lain.

Parti Pembangkang sendiri juga mengakui kehebatan Tun Dr.Mahathir Mohamad sebagai pemimpin negara. Banyak negara, contohnya Singapura yang meletakkan mantan pemimpin mereka sebagai penasihat demi membina negara bangsa yang telah diasaskan oleh mereka. Malah parti pembangkang seperti PAS dan DAP juga meletakkan mantan presiden atau pemimpin utama sebagai penasihat parti untuk meneruskan kesinambungan sokongan dan khidmat nasihat dalam memperkukuhkan sokongan.
Pimpinan UMNO seharusnya meletakkan Tun Dr.Mahathir Mohamad sebagai sumber rujukan dan penasihat kepada parti dan juga kerajaan, yang mana situasi ini dilihat boleh memberikan kebaikan kepada agama, bangsa dan negara. Tun Dr.Mahathir bukanlah orang yang sempurna dalam segala urusan, tetapi dengan pengalaman luas seorang negarawan yang ihklas jiwanya ini, tidak seharusnya kita ketepikan. Amat malang bagi UMNO jika parti unggul melayu ini meminggirkan Tun Dr.Mahathir Mohamad. Dengan sejarah, pengalaman, dan keikhlasan yang ada padanya, pasti parti UMNO yang banyak berjasa ini dapat kita pulihkan. Pandangan beliau bukanlah pandangan biasa, tetapi setiap idea dan lontaran ucapannya mengandungi azimat yang dilihat daripada firasatnya sebagai mantan pemimpin bangsa Melayu.

Malanglah bagi UMNO sekiranya membiarkan Tun Dr.Mahathir Mohamad begitu saja. Beliau sewajarnya dihormati dan disanjungi kerana pengalaman dan setiap pandangannya yang tidak menjangkau pemikiran kita. Rugilah untuk UMNO sekiranya masih gagal menilai kehebatannya dan ketokohannya untuk memperkasakan parti keramat ini kembali.

Diharap Perdana Menteri ke-6 Dato Seri Najib Tun Abdul Razak mampu untuk merubah segala permasalahan dan cacat cela yang berlaku di dalam UMNO dan BN. Belajarlah daripada kesilapan lalu, berdampinglah dengan pemimpin terdahulu, kerana jasa dan sumbangan besar pemimpin-pemimpin lama ini tidak boleh diabaikan. Kerana UMNO perlu kuat untuk kekal berkuasa. Sebagai ahli umno dan rakyat Malaysia sudah pasti kita mengharapkan UMNO akan dapat kembali ketahap yang terbaik dan kekal relevan untuk survival orang-orang Melayu bersama dengan semangat gagasan 1 Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan