Rabu, 2 Jun 2010

MELAYU, UMNO DAN LEGASI TUN DR MAHATHIR...

Majoriti rakyat Malaysia membesar dan melihat era kepimpinan Tun Dr.Mahathir Mohamad. Legasi pentadbiran dan pemerintahannya telah menyumbang kesan yang amat besar kepada era pemodenan dan pentadbiran negara serta tamadun bangsa yang berkembang pesat.

Beliau dilihat seorang yang begitu gigih dalam segala perancangan dan tindakan menjayakan agenda bangsa dan Malaysia dengan cemerlang. Tun Dr.Mahathir adalah merupakan pemimpin ulung, yang bukan sahaja diiktiraf oleh rakyat Malaysia tetapi juga di seluruh dunia yang mengangkat ketokohan Tun Dr.Mahathir sehingga ke hari ini.

Pemikiran dan tindakan Tun Dr.Mahathir amat sukar dibaca hingga kesan dari ucapannya sering mendapat liputan meluas media yang menggemparkan rakyat, terutama kepada ahli-ahli UMNO yang dahagakan perubahan dan semakin hilang arah. Disebabkan hilang arah tuju inilah, UMNO tanpa disedari telah dilanda krisis yang amat besar didalam kepimpinan yang telah menyebabkan parti keramat melayu ini dilanda tsunami politik yang amat teruk pada PRU yang ke 12.

Mantan Perdana Menteri ke 5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dilihat dari sudut politik telah gagal untuk memimpin dan membawa UMNO ke arah hala tuju yang lebih baik selepas era kepimpinan Tun Dr.Mahathir. Momentum kemenangan besar di PRU ke-11 pada tahun 2004 dahulu, dilihat gagal dipertahankan Tun Abdullah Badawi. Ternyata perubahan-perubahan dasar yang dibuat oleh Tun Abdullah Badawi didalam kerajaan dan parti dilihat sebagai punca kepada timbulnya pelbagai isu yang tidak ditangani dengan baik, dan tidak dapat diterima oleh sebahagian ahli-ahli UMNO dan majoriti rakyat pada ketika itu. Ini menyebabkan PRU ke12 lalu, rakyat dilihat seolah-olah memberikan undi protes kepada kerajaan dan parti Barisan Nasional.

Ramai yang berpendapat bahawa, Tun Abdullah Badawi seharusnya melihat segala komen dan kritikan yang dibuat oleh Tun Dr.Mahathir kepadanya ketika itu sebagai satu cabaran dan tanggungjawab yang besar yang harus diterimanya secara positif, demi untuk memulihkan keadaan kerajaan, khususnya dalam UMNO dan juga Parti Barisan Nasional. Tetapi inilah satu lagi lakaran sejarah pemimpin negara kita, yang mana dulu, tempoh perletakan jawatan Tun Dr.Mahathir amat ditangisi, tetapi tempoh pengunduran Tun Abdullah Badawi adalah amat dinanti-nanti.

Setelah meninggalkan tampuk pemerintahan memimpin negara selama 22 tahun, Tun Dr.Mahathir dilihat tidak lagi berperanan dan tidak lagi berharga oleh ahli-ahli UMNO dan BN pada ketika itu. Segala cadangan dan pandangannya tidak diambil peduli oleh pimpinan kerajaan, hingga ada juga yang sanggup mencemuhnya. Beliau terlalu dilukai selepas melepaskan jawatannya. Tun Dr.Mahathir bukanlah sebarang orang, kerana pandangan dan tegurannya selalunya lahir dari keikhlasan yang sayangkan bangsa dan negaranya.

Amat menyedihkan, apabila seorang negarawan terbilang yang pernah berkorban ikhlas untuk agama, bangsa dan negaranya, telah dianggap pengacau selepas era pemerintahnnya berakhir. Tsunami politik pada 8 Mac 2008, telah menceritakan segala-galanya apa yang telah berlaku. Kekalahan teruk UMNO dan BN seolah-olah seperti sudah dijangka. Apa yang berlaku kepada UMNO dan BN perlulah dilihat sebagai satu pengajaran besar. Setidak-tidaknya UMNO dan BN belajarlah menghargai dan mengenang jasa pemimpin-pemimpin yang terdahulu seperti Tun Dr.Mahathir Mohamad ini. Penghormatan dan jasanya tidak dihargai ketika beliau tiada jawatan didalam kerajaan mahupun parti, sedangkan pengorbanan yang dicurahkannya kepada negara jauh lebih besar dari apa yang kita fikirkan.

Memetik kata-kata seorang ahli politik besar, Tun Dr.Mahathir adalah merupakan seorang daripada begitu ramai pemimpin yang dilahirkan dalam 100 tahun, untuk melonjakkan tamadun sesuatu bangsa. Sesungguhnya jika benar kata-kata keramat itu, maka Tun Dr.Mahathir adalah seorang pemimpin yang seharusnya diletakkan dalam penghormatan negara. Diharapkan semoga pimpinan UMNO dan BN dapat menginsafi peristiwa ini, sentiasalah menoleh ke belakang untuk menghargai sumbangan dan jasanya yang besar pada negara.

Sanjungan untuk Tun Dr.Mahathir Mohamad tidak pernah luntur dari kebanyakkan rakyat Malaysia, dan hampir diseluruh dunia, khususnya dunia Islam. Adakah kita sedar dalam masa 22 tahun pemerintahannya, betapa pesatnya pembangunan yang telah dibawa kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya. Kita tidak harus lupa, bagaimana beliau sebagai pemimpin kita pada ketika itu, bersuara secara tegas mempertahankan maruah negara dan umat Islam daripada serangan Yahudi pada ketika negara Arab membisu dan tidak berani mengangkat muka. Berjuta-juta umat Islam yang tertindas, miskin dan memerlukan bantuan seperti di Bosnia, Somalia, Afghanistan, Sudan dan negara Islam lain mendapat simpati dan pertolongan segera dalam pelbagai bentuk bantuan seperti ketenteraan, pembangunan, derma, pendidikan dan bermacam lagi semasa era pemerintahnnya.

Jika dunia Islam mengakui ketokohan dan sumbangan besar Tun Dr.Mahathir kepada mereka, adakah kita sebagai rakyat Malaysia wajar melupakan jasa dan pengorbanan Tun Dr.Mahathir kepada agama, bangsa, negara? Malah merata benua telah diharunginya, ketika pemimpin Islam lain yang negara mereka kaya raya dan mewah tetapi terbatas dari segi untuk membantu negara lain.

Parti Pembangkang sendiri juga mengakui kehebatan Tun Dr.Mahathir Mohamad sebagai pemimpin negara. Banyak negara, contohnya Singapura yang meletakkan mantan pemimpin mereka sebagai penasihat demi membina negara bangsa yang telah diasaskan oleh mereka. Malah parti pembangkang seperti PAS dan DAP juga meletakkan mantan presiden atau pemimpin utama sebagai penasihat parti untuk meneruskan kesinambungan sokongan dan khidmat nasihat dalam memperkukuhkan sokongan.
Pimpinan UMNO seharusnya meletakkan Tun Dr.Mahathir Mohamad sebagai sumber rujukan dan penasihat kepada parti dan juga kerajaan, yang mana situasi ini dilihat boleh memberikan kebaikan kepada agama, bangsa dan negara. Tun Dr.Mahathir bukanlah orang yang sempurna dalam segala urusan, tetapi dengan pengalaman luas seorang negarawan yang ihklas jiwanya ini, tidak seharusnya kita ketepikan. Amat malang bagi UMNO jika parti unggul melayu ini meminggirkan Tun Dr.Mahathir Mohamad. Dengan sejarah, pengalaman, dan keikhlasan yang ada padanya, pasti parti UMNO yang banyak berjasa ini dapat kita pulihkan. Pandangan beliau bukanlah pandangan biasa, tetapi setiap idea dan lontaran ucapannya mengandungi azimat yang dilihat daripada firasatnya sebagai mantan pemimpin bangsa Melayu.

Malanglah bagi UMNO sekiranya membiarkan Tun Dr.Mahathir Mohamad begitu saja. Beliau sewajarnya dihormati dan disanjungi kerana pengalaman dan setiap pandangannya yang tidak menjangkau pemikiran kita. Rugilah untuk UMNO sekiranya masih gagal menilai kehebatannya dan ketokohannya untuk memperkasakan parti keramat ini kembali.

Diharap Perdana Menteri ke-6 Dato Seri Najib Tun Abdul Razak mampu untuk merubah segala permasalahan dan cacat cela yang berlaku di dalam UMNO dan BN. Belajarlah daripada kesilapan lalu, berdampinglah dengan pemimpin terdahulu, kerana jasa dan sumbangan besar pemimpin-pemimpin lama ini tidak boleh diabaikan. Kerana UMNO perlu kuat untuk kekal berkuasa. Sebagai ahli umno dan rakyat Malaysia sudah pasti kita mengharapkan UMNO akan dapat kembali ketahap yang terbaik dan kekal relevan untuk survival orang-orang Melayu bersama dengan semangat gagasan 1 Malaysia.

Selasa, 2 Februari 2010

Anwar Ibrahim ‘raja’ cipta isu...(cuba nak alih perhatian kes liwat)...

Siapa tak kenal dengan orang ini. Muka yang kacak sebelah ni namanya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Daripada budak kecik sampaila kepada orang tua, semua kenal muka kacak ni. Pengaruh dia cukup besar, bukan saja dalam negara, tetapi juga diluar negara. Bekas Timbalan Perdana Menteri pada era 90an ini, merupakan antara tokoh pemimpin politik negara yang mempunyai pelbagai cerita dan kontroversi yang sudah tentu akan menjadi bahan lipatan sejarah didalam negara ini. Dari pemimpin dan pejuang UMNO, sekarang dah jadi pemimpin dan pengasas PKR.

PKR sebuah parti politik yang ditubuhkan pada penghujung era 90an. Parti ini ditubuhkan pada dasar awalnya adalah untuk membela dan memperjuangkan nasib Anwar semata-mata, dengan melaung-laungkan reformasi ke seluruh negara menuntut keadilan bagi dirinya. Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri disebabkan kes salah laku (liwat) dan salah guna kuasa. Bermula dari situlah PKR (dulu Keadilan) ditubuhkan.

Setelah berkursus selama 6 tahun di penjara Sungai Buluh, akhirnya Anwar telah dilepaskan oleh Datuk Seri Abdullah Badawi yang pada ketika itu mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Dr. Mahathir.

Setelah dibebaskan, rupa-rupanya Anwar tak pernah serik berpolitik. Cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri tidak pernah sesekali dia padamkan. Setelah bebas, Anwar kembali menyusun strategi politiknya sehingga dia dan kawan-kawan sekutunya berjaya mencipta dan mencari isu sehingga melemahkan kerajaan pimpinan Pak Lah. Pak Lah dan kerajaan pada ketika itu memang di akui lemah, dengan wujud pelbagai masalah dan isu besar yang nyata tidak ditangani oleh Pak Lah dan kerajaan dengan baik. Ini menyebabkan rakyat berasa tidak puashati,rakyat berang dan menolak kepimpinan Pak Lah dan kerajaan.
Kesempatan dan peluang inilah diambil oleh Anwar Ibrahim untuk mengukuhkan dan menguatkan lagi pengaruhnya. Ini jelas apabila keputusan PRU 12 yang lalu benar-benar telah menampakkan bahawa rakyat menolak kepimpinan Pak Lah dan kerajaan pada ketika itu. Keputusan Pak Lah untuk berundur pada Mac 2009 demi memulihkan kepimpinan kerajaan dan parti pada ketika itu, amat tidak disukai oleh Anwar dan kuncu-kuncunya. Sebab Anwar tahu, sekiranya Pak Lah terus kekal menjadi Perdana Menteri, maka hasrat dan cita-citanya untuk menggulingkan kerajaan dan parti BN memang amat cerah. Sebab itu Anwar antara orang yang mempertahankan Pak Lah supaya tidak berundur pada ketika itu.

Setelah berundur, Dato Seri Najib Tun Razak telah dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Pak Lah. Nyata perlantikan Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri, menyebabkan Anwar tidak senang duduk dan semakin terdesak untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri. Ini disebabkan Dato Seri Najib mempunyai cara dan daya kepimpinan yang berbeza dengan Pak Lah.

Ini dihimpitkan lagi dengan kes liwatnya terhadap Saiful Bukhari Azlan telah mula dibicarakan dimahkamah. Tetapi Anwar tetap memainkan peranan melalui peguam-peguamnya untuk melengah-lengah kes liwatnya ini supaya tidak dibicarakan di mahkamah. Anwar juga tidak jemu-jemu dengan caranya untuk mencipta isu dan cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kes liwatnya.

Pada tahun 2009 saja, telah berlaku 9 pilihanraya kecil diseluruh negara. Ini jelas amat disukai oleh Anwar dan PKR, ini kerana dengan adanya pilihanraya kecil, secara tidak langsung kes liwatnya akan tertangguh, kerana sudah tentu tumpuan rakyat umumnya tertumpu pada pada pilihanraya kecil. Bila kes tertangguh terlalu lama dimahkamah, sudah tentu rakyat akan tertanya-tanya, dan mula bosan untuk mengikuti kes liwatnya. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan rakyat mula membuat andaian dan spekulasi-spekulasi sendiri, mengatakan Anwar tidak bersalah telah difitnah, dianiaya dan sebagainya. Ini semua agenda dan cara Anwar.

Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang yang juga pemimpin utama PKR ini nampak seakan sudah semakin terdesak untuk mempolitikkan apa sahaja isu yang timbul.

Dalam isu khalimah Allah, Anwar yang secara terang menyokong penggunaan khalimah suci ini, digunakan oleh Agama Katolik, sekali lagi mempolitikkan keadaan. Kali ini Anwar dan pemimpin DAP telah menuduh UMNO menyemarakkan sentimen bantahan umat islam , yang kononnya secara tidak langsung dikaitkan dengan kejadian membakar gereja.

Inilah kepakaran Anwar, apa sahaja ruang dan peluang digunakan untuk meraih sokongan. Dalam isu tersebut, sokongan rakyat bukan islam terutama di Sabah dan Sarawak mahu ditagihnya dengan cara memburukkan UMNO, BN dan kerajaan. Sedangkan Anwar tahu bahawa agak sukar untuk partinya PKR memasuki dan menang di Sabah dan Sarawak.

Maka apabila berlaku insiden membakar gereja ini, secepat kilat Anwar menyambarnya untuk dijadikan isu dan dipolitikkan. Lebih-lebih lagi, Anwar sedar reaksi majoriti umat islam yang menentang penggunaan khalimah Allah ini oleh agama lain. Demonstrasi aman yang banyak dibuat di masjid-masjid membuktikan bahawa majoriti umat islam tidak mahu isu ini berterusan dan apalagi dipolitikkan. Jika dilihat di laman web sosial Facebook, telah mencecah 100,000 orang menyertai bantahan penggunaan khalimah Allah ini oleh agama lain.

Maka strategi Anwar adalah dengan memaksimumkan sokongan orang bukan islam bagi meneruskan momentum sokongan dan agendanya untuk memenangi pilihanraya umum akan datang. Sebab itu Anwar sentiasa menggerakkan orang-orangnya untuk mencipta isu demi meraih sokongan. Yang terbaru, orang kanannya naib presiden Azmin Ali juga telah membuat kenyataan bahawa orang yang membakar gereja ini adalah orang-orang UMNO. Inilah cara politik yang telah dibawa Anwar Ibrahim.


Realitinya, Anwar memerlukan banyak isu panas bagi mengalihkan perhatian umum kepada isu liwat yang dihadapinya sekarang. Nyata Anwar makin resah dan tertekan kerana kes liwatnya terhadap Saiful Bukhari Azlan hampir tiba dan akan mula dibicarakan. Semua orang tahu, Anwar sengaja melengah-lengahkan kesnya ini, dan mencetuskan persoalan, kalau betul kenapa nak takut.

Dalam parti PKR pula, seorang demi seorang pemimpin PKR telah angkat kaki untuk melepaskan jawatan dan meninggalkan parti. Ini satu tamparan yang besar bagi Anwar untuk mengekalkan kepercayaan dan pengaruh masyarakat padanya. Apa saja strategi Anwar, sebenarnya amat mudah dibaca. Anwar memang suka kepada membakar sentimen rakyat. Sejarah telah membuktikan bahawa kes moralnya ini boleh dimanipulasi sehingga rakyat terheret sama.
PKR, DAP dan PAS yang berjaya menguasai beberapa negeri didalam pilihanraya yang lalu juga sebenarnya adalah disebabkan sentimen yang dimainkan oleh Anwar, biapun kepentingan agama, bangsa dan negara menjadi taruhan.

Khamis, 28 Januari 2010

Rasuah dan bahayanya dalam menentukan kepimpinan


Gejala rasuah politik diketahui umum dan ianya bukan suatu perkara yang dirahsiakan sama sekali pada masa sekarang ini. Lebih teruk lagi, ramai perasuah sekarang ni tidak kisah untuk merahsiakan perbuatan rasuah politik mereka. Malangnya, diakhir-akhir ini, telah ramai generasi muda terlibat dalam gejala ini. Ini jelas membimbangkan, dan amat dikutuk dan dilarang di dalam Islam.

Rasullulah SAW menolak kuasa, pangkat, wanita dan harta yang ditawarkan kafir musyrik Mekah sebagai rasuah untuk baginda meninggalkan tugas murni dan kudus menyebarkan dakwah Islamiah, menegak keadilan sejagat serta iltizam dan istiqamah dalam akhlak yang mulia serta melaksanakan amanah, tanggungjawab dan tugas yang telah diletakkan ke atasnya.
Ia ditolak mentah-mentah oleh baginda kerana Allah SWT demi kepentingan agama, dakwah, ummah dan negara yang mengatasi segala-galanya. Baginda menggambarkan sikap tegasnya kepada seluruh ummah dan dunia apabila menolak rasuah oleh kafir musyrik Mekah melalui pujukan bapa saudaranya, Abu Talib agar baginda tidak meneruskan tugas suci itu dengan sabdanya yang bermaksud : “Wahai bapa saudaraku (Abu Talib), sekalipun mereka meletakkan matahari disebelah tangan kananku, dan bulan disebelah tangan kiriku agar aku meninggalkan (tidak menyebarkan) mempertahankan ajaran Islam ini, nescaya tidak sesekali akan aku tinggalkan sehinggalah Allah SWT memberi kemenangan kepada agama ini atau aku terkorban kerana mempertahankannya.”
Rasuah membawa pengertian yang cukup besar.

-Memberi dan menawarkan sesuatu ganjaran kepada seseorang bertujuan untuk mempengaruhi tindakannya.
-Sogokan atau suapan yang diberikan oleh seseorang kepada pegawai atau petugas atas tujuan tertentu sebagai pemudah cara dalam bentuk wang, pangkat, harta, dan sebagainya.
-Memberi sesuatu kepada seseorang yang ada kekuasaan hukum supaya ia terlepas dari ancaman hukum atau supaya ia mendapat perlakuan istimewa dalam sesuatu urusan.
-Sogokan daripada seorang ke seorang lain untuk tujuan ia dipilih dan dilantik ke atas sesuatu jawatan.

Hukum Rasuah.
-Haram dan berdosa besar, wajib bertaubat nasuha dengan segera.
-Dilaknat oleh Allah dan Rasul.
-Daging yang tumbuh dengan benda-benda yang haram (seperti rasuah), neraka lebih utama untuknya.
-Hilang keberkatan hidup.
-Hidup tidak terdorong ke arah kebajikan dan kebaikan tetapi ke arah kemaksiatan dan kejahatan.
-Kuasa, jawatan, pangkat, kedudukan hasil dari rasuah tiada keberkatan dan tidak kekal, di akhirat akan dimasukkan ke neraka sekiranya ia tidak bertaubat.

Al-Hadis
-Surah Al-Bakarah ayat 188, bermaksud, “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui salahnya.
-Surah Al Maidah ayat 2, bermaksud, “ Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
-Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah serta orang yang menjadi perantara diantaranya.(Hadis Riwayat Ahmad dari Sauban).
-Sesiapa yang membeli pakaian dengan harga 10 darham sedang satu darham daripadanya wang haram, nescay Allah tidak akan menerima ibadat solatnya.(Hadis Riwayat AlBaihaqi)
-Surah Al Rom ayat 41 yang bermaksud, “Telah timbul berbagai kerosakan dan bencana didarat dan dilaut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah SWT hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (sedar dan insaf).

Jadi kajian mendalam perlu dibuat dan membuat penilaian kelemahan sistem berpolitik pada masa sekarang ini. UMNO kena cari jalan dan melaksanakan sistem berpolitik yang lebih baik didalam negara ini. Sistem pengawasan yang mantap, pemantauan, serta penguatkuasaan undang-undang perlu disegerakan, sekiranya UMNO ingin menjadi parti yang kekal relevan demi survival bangsa dan pembawakan islam yang seiring didalam negara ini.