Isnin, 10 Ogos 2009

Sekolah satu aliran dapat jayakan 1Malaysia


Saya sekadar ingin berkongsi pendapat kepada pembaca mengenai sistem pendidikan di dalam negara kita ini melalui konsep 1Malaysia. Konsep 1Malaysia ini telah diperkenalkan oleh YAB Dato' Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia yang keenam.

Pada pendapat saya sekiranya pelaksanaan sekolah satu aliran di negara kita dapat di wujudkan, sudah tentu konsep 1Malaysia ini dapat kita jayakan kerana ia boleh memupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Saya berpendapat sekiranya pelaksanaan ini dapat di buat, melalui konsep pendidikan di sekolah, pelajar pelbagai kaum dapat bergaul dan berinteraksi dengan lebih dan berkesan.

Pihak kerajaan melalui kementerian pendidikan sebenarnya boleh melaksanakan konsep pendidikan satu aliran ini dengan tidak mengenepikan bahasa ibunda bagi kaum-kaum yang lain. Sebagai contoh, bahasa mandarin & bahasa tamil boleh dijadikan sebagai mata pelajaran elektif, ini bermakna pelajar-pelajar bukan melayu boleh mempelajari bahasa ibunda mereka masing-masing & tidak akan dinafikan hak mereka untuk belajar.

Bagi saya pendekatan 1Malaysia yang dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri ini amat baik dan ianya harus bermula seawal di peringkat pendidikan di sekolah-sekolah.

Sistem pendidikan yang baik sebenarnya dapat menyatupadukan semua kaum melalui perkongsian budaya dan adat resam serta dapat mengelak daripada berlakunya polarisasi kaum di negara kita ini. Disamping itu, ia juga akan dapat memupuk masyarakat kita terutama generasi-generasi pelajar ini supaya lebih sayang dan cintakan negara.

Seingat saya Allahyarham Tun Abdul Razak, semasa hayatnya ada menyatakan ingin melihat sekolah satu aliran menjadi satu kenyataan didalam negara kita. Ini juga ada dimuatkan didalam Penyata Razak pada tahun 1956 iaitu setahun sebelum negara menyambut kemerdekaan. Namun setelah 52 tahun negara merdeka ia masih belum terjadi.

Alangkah baik, sekiranya rakyat Malaysia disetiap lapisan usia boleh menguasai bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil dan impian mencapai matlamat 1Malaysia yang lebih harmoni dan saling memahami akan dapat diwujudkan.- AnakDesa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan